
Cerita ini bermula di sebuah gunung bernama Jerai.
Pada malam itu, Motosikal kami berdua menyusuri 12 kilometer jalan yang berliku. Malam itu sunyi, gelap, dan sejuk menyucuk. Setiap selekoh yang kami tempuh bagaikan rahang bahaya yang sedia mengapung jika kami alpa. Lampu motor hanya cukup menerangi beberapa meter di hadapan, selebihnya ditelan gelap.
Setibanya di 1 selekoh, terdapat sudut permandangan yang membentang ke arah yan. Dari dalam kegelapan malam, terdapat deretan lampu berwarna hijau dan awal sangkaan sey adalah pasar malam
Lalu wan berkata, itu lampu candat sotong.
Tu sana dah laut dan kalau hang naik sini waktu siang memang akan nampak sawah padi yang luas dekat yan ni
Selesai menikmati permandangan malam disitu kami pon beredar dan melalui kembali selekoh tajam sehingga
Tiba-tiba, Wan memberhentikan motornya. Sey ikut sama.
"Biasa kalau orang luar mai jalan-jalan, depa dok sampai sini ja," katanya dalam loghat Kedah yang pekat. "Sebab depan sana, kereta takleh masuk. Tapi kita... sambil tersenyum ... kita akan ke atas lagi."
Ketika itu hanya lampu jalan menerangi suasana yang kabur,
Kami melalui Telaga Tok Sheik. Jalan semakin sempit, cukup ruang untuk sebiji kereta. Sampai di satu simpang Y, Wan berhenti lagi.
"Hang nak tengok batu bentuk kapal tak? Tapi malam-malam ni, kurang ngasik la." Dia menjengah ke arah lorong gelap di kanan. "Takpe, jom kita gi."
Kami memasuki lorong yang lebih sempit. Luasnya hanya cukup untuk pejalan kaki. Kiri kanan dilingkari pokok-pokok tua, dahan-dahannya melambai-lambai di bawah bayangan cahaya bulan, seakan memberi isyarat atau mungkin... amaran.
Setibanya di suatu tempat, Wan memadam enjin. "Kita dah sampai."
Kami berjalan ke atas sebuah batu besar. Permukaannya mempunyai garis-garis yang jelas, tersusun rapih seperti rangka asas sebuah kapal. Besarnya, panjangnya, mencecah ukuran sebuah jong.
Dalam gelap dan sunyi, Wan memulakan cerita. Tentang dua watak penting zaman silam. Sang Kelembai. Merong Mahawangsa. Kisah yang melekat pada batu ini, pada gunung ini, pada tanah ini.
Suaranya berbisik, seakan takut mengganggu sesuatu yang mungkin masih bersemayam di situ. Aku mendengar, tapi mata tak lepas meratah persekitaran. Dalam gelap, suasana keliling tidak kelihatan. Akal cuba mereka-reka bentuk tempat ini waktu siang. Tapi malam ini, semuanya rahsia.
Kami tinggalkan batu kapal itu, kembali ke simpang Y, dan menyusuri jalan utama semula. Sekarang, jalannya lebih berbahaya. Luasnya hanya muat satu kereta. Selekohnya tajam. Sebarang masalah teknikal, fatal akibatnya.
Setibanya di satu kawasan lapang, Wan berhenti lagi. Papan tanda kabur terbaca: Padang Tok Sheik.
Kami turun dan mengikuti anak tangga.
Jalan itu dinaungi rimbunan pokok-pokok, seperti bonsai. Hanya sedikit cahaya bulan berjaya menembus dedaun, jatuh bertompok-tompok ke tanah.
Kami tiba di hamparan batu luas, sebesar padang bola. Batunya bergaris-garis, sama seperti di batu kapal tadi. Tapi kali ini, susunannya lebih mirip saf-saf di lantai masjid. Rapi. Teratur. Sukar dipercayai ini kerja alam semata-mata.
Di satu sudut, atas batu itu, aku ternampak dua susuk tubuh. Duduk. Berkain putih.
Belum sempat mulutku terbuka, siku Wan sudah menyiku rusukku. Dia geleng kepala perlahan. Aku faham. Di sini, kita tidak menegur apa yang kita nampak dan dengar.
Kami menyusuri celah-celah pokok bonsai. Tiba-tiba, ruang terbuka. Di hadapan kami, terbentang pemandangan bandar Sungai Petani di waktu malam. Lampu-lampu kota bertaburan seperti bintang jatuh yang bersemayam di bumi. Angin sepoi membelai muka, seakan membasuh resah yang baru singgah di hati.
Selepas puas menjamu mata, kami menyusuri semula denai kecil. Wan berjalan ke arah semak, memetik sesuatu.
"Ini ubat mata," katanya dalam loghat Kedah, sambil menunjukkan periuk kera di tangannya.
Sey terpinga-pinga. "Wan, bukannya orang kata periuk kera ni tempat berak tupai dengan serangga?"
Wan tersenyum, sambil geleng kepala.
"Yang tu, periuk kera yang lidahnya dah terbuka. Kita kena cari yang masih dara."
Dia tunjukkan caranya. Pertama, cari yang lidahnya (tudung) masih tertutup rapat. Kedua, goyang perlahan untuk pastikan ada air di dalamnya.
Sey mencuba dalam samar-samar cahaya bulan. Beberapa kali jumpa, tapi kosong. Akhirnya, sey temui satu yang cukup syarat. Sey koyakkan lidahnya. Air jernih di dalamnya sey tuang ke mata.
Segar.
Bukan sekadar segar biasa. Ini kelegaan yang meresap. Dinginnya sampai ke batuk hidung, jauh lebih mujarab dari sebarang ubat sintetik.
Malam itu, sey belajar satu perkara:
alam semula jadi menyimpan ubat yang lebih hebat dari makmal manusia.
Sebelum pulang, kami duduk di tembok batu bersebelahan Padang Tok Sheik. Dalam gelap, sey ternampak dua susuk berkain putih berjalan ke arah kami. Semakin hampir, hati berdebar. Kali ini, bukan susuk senyap.
"Assalammualaikum," satu suara memberi salam.
Dua pemuda berdiri. Jubah putih. Serlah dari bayangan bulan.
"Wasalam," kami menjawab serentak.
"Abang, ada nampak pakcik pakai serban tak dekat sini?" tanya seorang.
Kami berpandangan. Dari mula sampai sekarang, tak pernah jumpa mana-mana pakcik berserban.
Kami tanya balik. "Korang ni dari mana? Buat apa atas sini?"
"Kami pelajar tahfiz dari Perlis," jawabnya. "Datang ziarah, sebelum balik semula malam ni."
Jam menunjukkan tepat pukul 12 malam. Mereka minta diri, berjalan masuk ke celah-celah semak dan pokok bonsai, terus hilang ditelan gelap.
Sebaik sahaja bayangan mereka lenyap...
WUSSSH!
Satu bunyi libasan serban kuat, menyapu tepat di tepi telinga kana sey. Anginnya terasa. Bulu roma serta-merta meremang.
Sey tergamam.
"Hang dengaq tak? " Suara Wan mendadak, tegang.
Sey pandang dia. Matanya membulat. Bukan bertanya, tapi mengesahkan. Dia juga dengar.
Kami sama-sama diam. Hutan pun diam. Bunyi tadi... macam mana nak jelaskan? Dan kenapa bunyi tu muncul sejurus selepas dua pemuda tahfiz itu bertanya tentang seorang pakcik berserban?
Satu keputusan bulat. Kami turun.
Perjalanan 12 kilometer menuruni gunung terasa panjang. Gelap dan sunyi malam itu bukan lagi sekadar suasana, tapi teman yang membisikkan seribu persoalan. Bunyi libasan serban masih terngiang di kepala.
Kami berhenti di sebuah gerai di pekan Guar Chempedak. Cahaya terang di sini melegakan.
"Minum apa bang?" Seorang lelaki berapron menghampiri.
"Teh tarik dua, nasi lemak dua," jawab Wan.
Sementara menunggu, Wan tanya lagi. "Hang agak, bunyi apa tadi?"
Sey diam. Tiada jawapan. Hanya persoalan.
Makanan sampai. Lelaki berapron tadi duduk dan bersembang. Bila tahu sey dari Melaka, dia bercerita. Tentang pengalamannya berubat di Melaka dulu. Sakitnya adalah hilang semangat. Apa dibuat tak menjadi. Setelah pelbagai usaha gagal, dia ke Melaka jumpa seorang pakcik.
Pakcik tu guna limau nipis dengan air ja. Baca beberapa surah. Dengan izinNya, saya sembuh."
Kami habiskan makan. Bayar. Pergi.
Sampai di rumah, sey cuba tidur. Tapi bunyi libasan serban masih tergiang. Malam itu, tertutup mata, tapi terbuka seribu persoalan.
Esoknya, 10 pagi. Kerana persoalan yang tanpa jawapan. Sey naik semula ke Gunung Jerai. Sendirian.
"Kita pergi tengok suasana siang harinya," bisik hati, masih dirundung tanda tanya.
Mungkin siang mampu menjawab segala persoalan malam tadi...
Atau mungkin, ia hanya akan membuka lebih banyak pintu rahsia yang belum ku ketahui.
Bersambung...
0 comments for this post